Hak Penjagaan Anak (Hadhanah) Menurut Undang-Undang

Assalamualaikum para pembaca yang budiman.

Kali ini kami nak berkongsi sedikit pengalaman dan pengetahuan mengenai undang-undang berkenaan tuntutan hak penjagaan anak di sisi undang-undang Islam di Malaysia. Setiap negeri mempunyai peruntukan yang hampir sama, cuma ada sedikit perbezaan dari segi rujukan nombor seksyen yang berkenaan. Untuk memudahkan perbincangan, kami menggunakan seksyen di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (“EUUKIS”). Peruntukan penuh seksyen boleh didapati dari laman web www.esyariah.gov.my

 

Soalan yang sering ditanya oleh masyarakat kepada kami adalah apakah keperluan undang-undang dalam menuntut suatu hak penjagaan atau hadhanah. Perlu diingat bahawa undang-undang memperuntukkan keperluan yang berbeza sekiranya yang menuntut adalah ibu atau ayah.

 

Untuk memudahkan pemahaman semua, kami cuba ringkaskan keperluan perundangan ini kepada soalan-soalan berikut yang perlu ditanya mengikut turutan.

 

  1. Berapakah umur anak yang ingin dituntut hak jagaannya? Sekiranya anak itu masih kecil (tafsiran “kecil” ini berbeza-beza, tetapi boleh dibahaskan untuk merangkumi umur di bawah 7 tahun untuk kanak-kanak lelaki dan di bawah 9 tahun untuk kanak-kanak perempuan, supaya konsisten dengan kehendak seksyen 85 EUUKIS), maka yang paling berhak menjaga adalah si ibu, menurut kehendak seksyen 82 (1). Sekiranya ibu hilang kelayakan (sila rujuk point 3), maka turutan penjaga seterusnya adalah seperti yang disenaraikan dalam seksyen 82 (2), di mana nenek sebelah ibu lebih layak berbanding si bapa. Tetapi seksyen ini tertakluk kepada kehendak seksyen 83 EUUKIS iaitu hendaklah si ibu itu memenuhi kriteria kelayakan di bawah seksyen 83 EUUKIS. Sekiranya anak itu bukan lagi anak kecil, sila skip ke point no. 4. Baby-Blanket

  2. Sekiranya anak itu masih kecil dan secara anggapannya ibu adalah orang yang paling berhak, adakah ibu itu memenuhi KESEMUA kriteria dalam seksyen 83 EUUKIS? Iaitu hendaklah si ibu itu seorang Islam, sempurna akal, berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu, berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani. Selalunya, kehendak berkenaan “kelakuan baik dari segi akhlak islamiah” ini yang sering menjadi perbahasan si bapa untuk menidakkan kelayakan si ibu.   maternal-love-clipart-3

     


  3. Sekiranya si ibu memenuhi kriteria kelayakan dalam seksyen 83 EUUKIS, soalan seterusnya yang hendak ditanya adalah adakah si ibu itu telah hilang hak untuk menjaga, dengan melakukan SALAH SATU atau LEBIH perbuatan yang disenaraikan dalam seksyen 84 EUUKIS? Iaitu jika si ibu berkahwin lain DAN perkahwinan itu menjejaskan kebajikan anak, jika ibu berkelakuan buruk secara terbuka, jika ibu menukar pemastautinan ke negeri atau negara selain tempat asal si ibu dengan tujuan untuk menjauhkan anak dari ayah, jika ibu murtad ATAU jika ibu mencuaikan atau menganiaya si anak. Kesemua alasan hilang kelayakan ini sering digunakan oleh para bapa tetapi si bapa perlu membuktikan mana-mana alasan ini jika mahu mengambil alih penjagaan dari si ibu. Contohnya, ibu berkahwin semula tidak semestinya menghilangkan hak jagaan, si bapa perlu membuktikan bagaimana perkahwinan itu menjejaskan kebajikan anak, contohnya, ibu berkahwin dengan suami baru yang merupakan bekas penjenayah. “Kelakuan buruk secara terbuka” juga hendaklah dibezakan dengan perbuatan dosa secara umum, kerana bukan semua kelakuan buruk dikira menghilangkan kelayakan si ibu, contohnya si ibu yang sering solat subuh lewat boleh dibahaskan untuk tidak melakukan perbuatan buruk itu secara terbuka walaupun perbuatan itu berdosa. Contoh perbuatan buruk terbuka adalah sekiranya si ibu itu bekerja sebagai GRO.   prostitute_in_newyork

  4. Siapakah pilihan anak? Jika anak itu sudah berumur melebihi 7 tahun untuk lelaki dan 9 tahun untuk perempuan, maka si bapa mempunyai peluang lebih cerah untuk menjaga anak, tetapi ia bukanlah satu jaminan. Seksyen 85 EUUKIS menyatakan bahawa jika kanak-kanak itu mumayyiz, dia boleh memilih untuk tinggal bersama ibu atau bapa. Jadi, sekalipun anak itu mungkin sudah melebihi umur 7/9 tahun, kanak-kanak itu masih boleh memilih untuk tinggal bersama si ibu. Umur mumayyiz ini tidak tetap, ia bergantung kepada anak itu masing-masing. Sesetengah anak sudah matang/mumayyiz pada umur yang muda (lebih awal dari 7 atau 9 tahun), manakala sesetengah anak hanya mumayyiz pada umur belasan tahun (akibat lambat perkembangan, OKU dan sebagainya). Sekiranya anak itu memilih untuk bersama ibu, maka pertimbangan yang sama seperti dalam point 2 dan 3 di atas akan diberi perhatian. Manakala jika anak memilih untuk bersama bapa, pertimbangan dalam point 2 akan diambil kira kerana bapa juga perlu memenuhi keperluan yang sama. Pemilihan oleh anak ini juga tidaklah wajib, ia hanya diberi pertimbangan sahaja, kadangkala hakim tidak memerlukan anak ditanya sekalipun telah mumayyiz, semuanya bergantung kepada keseluruhan pertimbangan yang perlu untuk kes tersebut. Contohnya, jika si bapa tidak hadir dalam prosiding dengan sengaja, kadangkala hakim tidak perlu meminta pemilihan anak kerana sudah ternyata si bapa itu tidak berminat untuk mendapatkan hak jagaan anak tersebut kerana tidak hadir dengan sengaja ke prosiding tersebut.  symbolic-illustration-custody-battle-man-woman-silhouette-39876810

  5. Apakah yang terbaik untuk kebajikan anak? Satu peruntukan penting yang akan dipertimbangkan dalam suatu tuntutan hak penjagaan adalah seperti yang disenaraikan dalam seksyen 87 EUUKIS. Walau apapun kehendak kesemua seksyen yang dijelaskan dalam point 1 hingga 4 di atas, Mahkamah akan mengambil kira KEBAJIKAN anak sebagai pertimbangan yang paling utama. Setiap kes akan memberi impak yang berbeza berkenaan apa yang terbaik untuk kebajikan seseorang anak kerana setiap kes mempunyai fakta latar belakang yang berbeza. Contohnya, tidak semestinya seorang ibu yang tidak bekerja tidak layak menjaga anak (kerana bapa wajib menanggung nafkah anak sekalipun anak dijaga oleh si ibu), dan tidak semestinya anak yang dijaga ibu yang sudah berkahwin lain akan terjejas kebajikannya kerana mungkin si bapa berperangai buruk dan boleh menjejaskan kebajikan anak, dan tidak semestinya anak yang dijaga ibu kandung akan lebih terjamin kebajikannya. Jadi, seksyen inilah yang memberi tafsiran terbesar dalam menentukan samaada seseorang ibu atau bapa lebih patut untuk menjaga seseorang anak. Kebiasaannya, jika si anak sudah dijaga oleh salah seorang ibu atau bapa untuk suatu tempoh yang lama sebelum tuntutan hadhanah diputuskan, Mahkamah akan mengekalkan jagaan tersebut kerana tidak mahu menjejaskan kebajikan anak dari segi persekolahan beliau, persekitaran beliau dan sebagainya.  best-interests-of-child-video-crop

Kes hak jagaan anak adalah sangat panjang untuk dihuraikan, tetapi secara asasnya, inilah pertimbangan yang akan diberikan menurut undang-undang. Moga bermanfaat. Wallahua’lam. Assalamualaikum.

 

Ashikin Rahim

16 Januari 2018

Spread the word. Share this post!

Comments (2)

  1. AINI HAKIMAH BT HASSIM

    Reply

    SALAM PUAN,

    ssaya adaalah salah seorang mangsa perceraian… telah 16 tahun berkahwin dan telah diceraikan. mempunyai anak sseramai 7 orsng 5 lelaki dan 2 perempuan… telah diperintahan hak jagaan sementara kesemu anak lelaki pergi bersama bapanya, sedangkan saya tahu, banyak kelonggaran jika tinggal bersama bekas suami. semasa bicara, kesemua keterangan di pihak defendan menyatakan saya tidak layak disebabkan saya menjaga ibu saya di mana bekas suami menyatakan tak sesuai untuk anak-anaak tinggal bersama saya disebabkan saya menjaga ibu yang mengalami tekanan jiwa…

    bagaimanakan caranya puan untuk membolehkan kesemua anak lelaki saya yang berusia antara 15 -8 tahun memihak kepada saya…

    • admin

      Reply

      Anak2 yg sudah mumayyiz akan diberi pilihan untuk pilih ibu atau bapa. Mahkamah akan beri pertimbangan pada pilihan anak.

      Juga perlu buktikan kenapa suami tak layak jaga anak. Adakah terdapat sebarang kelakuan buruk secara terbuka yg dilakukan suami seperti melanggan pelacur atau menagih dadah

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *