BILA PERLU (DAN TIDAK PERLU) MELANTIK PEGUAM SYARIE?

Assalamualaikum warah matullah,

 

Entri kami kali ini adalah berkenaan realiti yang sentiasa berlegar di minda para pengunjung Mahkamah Syariah. Bukan semua individu yang terlibat dengan kes-kes di Mahkamah Syariah ingin mengguna pakai khidmat seorang Peguam Syarie atas pelbagai alasan, namun ada keadaan-keadaan di mana khidmat ini amat diperlukan demi memastikan keadilan dan hak pihak tersebut dapat disokong sepenuhnya.

 

Sekiranya anda berhadapan dengan situasi ini, bolehlah pertimbangkan faktor-faktor berikut sebelum membuat keputusan samaada ingin melantik Peguam Syarie:-

 

1. Bila Hakim mengarahkan anda melantik Peguam Syarie

judge-with-gavel-at-a-brown-desk

Dalam keadaan ini, anda tiada pilihan. Anda mesti mencari Peguam Syarie untuk mewakili anda supaya kes anda dapat diteruskan. Keadaan ini biasanya berlaku bila sebelah pihak sudahpun melantik Peguam Syarie manakala anda tidak diwakili sesiapa. Jadi, untuk mengelakkan bias dan proses berat-sebelah dalam perbicaraan terutama apabila menyoal-balas saksi dan membuat hujahan (yang mana hanya Peguam Syarie terlatih dapat membantu), maka anda hendaklah mencari seorang Peguam Syarie untuk mewakili anda. Sekiranya anda berpendapatan kurang dari 25 ribu setahun (termasuk bonus dan elaun jika ada), maka anda boleh memohon mendapatkan khidmat Peguam Syarie percuma dari Jabatan Bantuan Guaman yang terdekat.

 

2. Bila anda sibuk dan tiada masa turun naik Mahkamah

busy

Untuk kebanyakan kes di Mahkamah Rendah, anda boleh memfailkan dan mengendalikan kes secara sendiri jika anda mahu, kerana banyak Mahkamah sudah memudahkan urusan tersebut untuk masyarakat awam terutama kerana masih ramai yang tidak mampu melantik Peguam Syarie.

Tetapi, jika anda bekerja dalam bidang yang amat memerlukan anda memberikan komitmen sepanjang masa, maka eloklah anda melantik Peguam Syarie agar dapat mewakili anda dalam kebanyakan prosiding. Ini kerana, sekiranya anda tidak mempunyai Peguam Syarie, sebaik sahaja anda memfailkan sesuatu kes, semua tarikh Mahkamah yang ditetapkan selepas itu meWAJIBkan kehadiran anda secara sendiri (dan tidak boleh diwakilkan kepada orang lain). Maka, bersedialah untuk datang ke setiap tarikh Mahkamah yang diberikan, dan jika anda tidak dapat hadir, kes anda boleh dibuang atau ditangguhkan sehingga ianya lambat selesai.

Manakala jika anda melantik Peguam Syarie, Peguam yang berwakalah boleh memohon untuk kehadiran anda dikecualikan selepas sebutan kes yang pertama. Oleh itu, hanya Peguam Syarie sahaja perlu datang bagi pihak anda untuk setiap tarikh pengurusan kes. Kehadiran anda hanya diperlukan semula di Mahkamah semasa perbicaraan dan semasa keputusan.

 

3. Bila melibatkan isu undang-undang yang rumit

confused

Ada tujuannya mengapa seorang Peguam Syarie menghabiskan antara 3 hingga 6 tahun untuk mendalami ilmu syariah, perundangan, prosedur dan sebagainya. Tujuan utamanya adalah untuk membantu Mahkamah menyelesaikan kes-kes yang melibatkan isu undang-undang yang rumit dengan membuat kajian perundangan (‘legal research’) dalam bidang yang didalami oleh setiap Peguam Syarie. Bukan mudah untuk mendapat tauliah dari negeri-negeri di Malaysia supaya boleh beramal sebagai Peguam Syarie. Banyak negeri memerlukan calon lulus peperiksaan, temuduga, mewajibkan praktikal selama 3-9 bulan, dan banyak lagi syarat lain. Peguam Syarie yang terpilih oleh Jawatankuasa Peguam negeri masing-masing semuanya berkelayakan untuk membantu Mahkamah menyelesaikan isu yang rumit. Sekiranya anda tidak diwakili, hak anda mungkin tidak dapat ditegakkan sebaiknya kerana mustahil seorang Hakim tahu seluruh hukum syarak dan prosedur perundangan dalam undang-undang Islam yang teramat luas konteksnya.

 

4. Bila anda ada peruntukan yang mencukupi

currency-new_

Ramai orang tidak mahu melantik Peguam Syarie kerana tiada peruntukan yang mencukupi atau tidak mahu membelanjakan wang untuk khidmat seorang Peguam. Tetapi ingatlah, sepertimana urusan pertukaran hakmilik tanah yang memerlukan khidmat profesional seorang peguam sivil, begitu juga khidmat di Mahkamah Syariah yang boleh berjalan lebih lancar dengan bantuan seorang Peguam yang lebih arif dalam selok-belok prosedur Mahkamah dan substantif kes.

Sesetengah kes memang anda boleh lakukan sendiri, tapi bukan sedikit kes yang terpaksa difailkan semula kerana pihak-pihak tidak mengikut prosedur yang betul atau tidak dinasihatkan sewajarnya sebelum mendapatkan suatu perintah persetujuan selepas sulh. Akibatnya, pihak-pihak masih bergaduh terutamanya berkaitan urusan nafkah anak, hadhanah dan hak lawatan anak. Akhirnya, anda terpaksa ke Mahkamah Syariah sekali lagi kerana Perintah terdahulu yang anda dapatkan tanpa khidmat Peguam punyai banyak kekurangan dan kecacatan yang merumitkan masalah anda dan bekas pasangan di kemudian hari.

Lebih merugikan lagi adalah kebanyakan kes yang diselesaikan secara persetujuan tidak boleh dirayu atau ditarik-balik , maka jika anda tidak mendapat khidmat nasihat sewajarnya sebelum bersetuju untuk sesuatu perkara yang kemudiannya direkodkan sebagai Perintah Mahkamah (seperti mutaah, nafkah iddah, harta sepencarian), maka sudah terlambat untuk anda memohon untuk mengubah perintah tersebut kerana Mahkamah tidak akan membenarkannya.

Bayaran Peguam Syarie, sepertimana peguam-peguam sivil, berbeza mengikut senioriti, populariti dan saiz firma masing-masing. Selidiklah dan bandingkanlah sebelum anda membuat keputusan untuk memilih mana-mana Peguam Syarie supaya anda diwakili mengikut kemampuan anda, dan selidiklah juga prestasi Peguam Syarie tersebut. Jangan kerana pihak lawan melantik seorang peguam senior maka anda pun ingin berbuat yang sama sedangkan anda tidak mampu, akibatnya anda juga yang terpaksa menanggung hutang di kemudian hari. Sekiranya anda seorang bapa, lebih baik wang yang anda peruntukkan untuk Peguam Syarie yang mahal digunakan untuk membayar nafkah anak, daripada anda membelanjakan untuk Peguam tetapi tidak mahu membayar nafkah anak secukupnya. Tidak wajar sebegitu, kan. Allah tahu niat dan kemampuan anda.

Malah, jika anda benar-benar tidak mampu tetapi kes anda memerlukan lantikan seorang Peguam Syarie, silalah ke Jabatan Bantuan Guaman dan berbincanglah berkenaan perkara ini. Mereka boleh membantu melantik Peguam bagi pihak anda.

Juga, bagi ibu-ibu tunggal yang mempunyai Perintah Mahkamah berkenaan nafkah anak yang ingin dikuatkuasakan, boleh terus ke Bahagian Sokongan Keluarga yang boleh membantu anda mencari bekas suami untuk membayar mengikut Perintah Mahkamah tersebut, malah pihak BSK boleh mendahulukan tunggakan nafkah kepada anda kemudian menuntut semula jumlah tersebut dari bekas suami.

 

5. Bila anda ada masalah mencari Defendan

Apabila anda seorang Plaintif iaitu orang yang menuntut, dan anda mempunyai masalah untuk mendapatkan kerjasama Defendan (orang yang dituntut) untuk datang ke Mahkamah, samaada kerana Defendan sudah hilang atau sengaja tidak mahu hadir atau di penjara atau sebagainya, maka khidmat Peguam boleh digunakan untuk membantu anda membuat serahan sewajarnya ke atas Defendan tersebut. Sekiranya perlu kepada serahan secara ganti (seperti iklan di suratkhabar atau secara tampalan) maka Peguam boleh membantu melakukan urusan ini dengan lebih tepat dan mengikut prosedur, supaya anda boleh meneruskan kes itu sebelah pihak sekiranya Defendan masih gagal hadir sekalipun penyerahan dokumen sudah sempurna. Untuk sesetengah kes, kehadiran Defendan adalah wajib, maka Mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap dan meminta bantuan polis untuk memaksa Defendan hadir ke Mahkamah.

 

6. Nasihat dan panduan tanpa representasi

b73353953696b843b75ec0947f28450e

Ada juga Peguam Syarie yang menawarkan khidmat nasihat untuk fi yang minima tanpa representasi di Mahkamah (hanya menasihati aspek prosedur dan selebihnya anda failkan dan uruskan sendiri di Mahkamah), malah ada yang membantu secara percuma sebagai sumbangan untuk masyarakat. Anda boleh selidik jika ada khidmat klinik guaman percuma di mana-mana universiti atau persatuan peguam atau firma guaman tertentu, dan gunakanlah peluang itu jika anda tidak mempunyai dana untuk melantik Peguam.

Tetapi anda sebagai insan baik hati juga perlu ingat bahawa, sepertimana anda juga bekerja untuk mencari rezeki begitu juga para Peguam Syarie yang perlu melangsungkan kehidupan mereka masing-masing malah menanggung staf bawahan yang mengharapkan rezeki dari kes-kes anakguam yang diwakili. Janganlah anda mengambil kesempatan yang keterlaluan atas kebaikan Peguam Syarie dengan menghujani mereka dengan pertanyaan-pertanyaan yang menuntut jawapan berupa khidmat nasihat percuma sedangkan anda mampu untuk membayar khidmat mereka.

Jika anda perlukan khidmat profesional mereka, maka berlaku adillah dan berjumpalah secara profesional dengan bersetuju atas fi bagi khidmat nasihat terlebih dahulu. Atau jika anda tidak mampu, maka hormatilah masa mereka yang boleh dimanfaatkan untuk anakguam lain yang juga memerlukan khidmat mereka dan janganlah mengambil masa mereka terlalu lama sedangkan anda tidak berniat pun untuk melantik Peguam tersebut.

Juga, awaslah dari khidmat yang ditawarkan oleh sesetengah individu yang bukan bertauliah sebagai Peguam Syarie kerana tiada jaminan bahawa anda sedang mengikut nasihat yang betul. Anda kononnya membayar harga yang lebih rendah berbanding bayaran fi seorang Peguam, namun sebenarnya anda berisiko untuk terpaksa memfailkan semula kes atas kesalahan prosedur atau substantif sedangkan anda boleh mendapatkan khidmat yang lebih berkualiti dan tepat dengan berjumpa seorang Peguam Syarie.

 

Itu sahaja coretan untuk kali ini. Hanya sebagai bacaan ringan dari perspektif seorang Peguam. Dari tulisan ini, anda dapat lihat bahawa bukan semua keadaan dan kes memerlukan khidmat Peguam. Anda boleh mendapatkan bantuan terus dari Mahkamah jika kes anda ringkas dan mudah (seperti fast-track cerai, rujuk artikel sebelum ini bertajuk “Cerai Secara Baik / Cerai Dalam Mahkamah”). Tetapi dalam keadaan-keadaan lain, khidmat seorang Peguam boleh membantu anda dan merupakan satu pelaburan masa dan kos untuk jangka panjang bagi memudahkan anda menyelesaikan urusan di Mahkamah dengan lebih efisyen.

 

Wallahu’alam.

 

ASHIKIN RAHIM

25 OKTOBER 2016

Spread the word. Share this post!

Comments (9)

  1. Mashira

    Reply

    Salam Puan Ashikin. Sy ingin bertanyakan perkhidmatan peguam syarie untuk permohonan cerai di mahkamah.

    • admin

      Reply

      Assalamualaikum Puan Mashira,

      Puan boleh hubungi kami di 012-9020090 sekiranya memerlukan bantuan khidmat guaman. InsyaAllah kami akan cuba membantu sebaiknya.

      Terima kasih.

  2. Mar

    Reply

    Assalamualaikum..puan.
    Jika ingin mendapatkan khidmat nasihat, seelokknya daripada peguam dari negeri y ingin difailkan kes atau mana2 peguam pun x pe?
    Tq.

  3. Nabila

    Reply

    Assalamualaikum puan Ashikin. Saya nak bertanyakan permasalah isu anak angkat. Apa perlu saya lakukan ya?

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warah matullah. Boleh bertanya lanjut di sini atau whatsapp saya di 0129020090.

  4. Lyn

    Reply

    Salam Puan Ashikin. Sy ingin bertanyakan perkhidmatan peguam syarie untuk rayuan lafaz talak 3 jatuh kepada 1 minta bantuan puan ashikin

    • admin

      Reply

      Puan Lyn, sila hubungi kami di 0129020090 jika ingin mendapatkan quotation utk kes sebegini. Terima kasih.

  5. Hazizah kasban

    Reply

    Assalamualaikum puan, sy telah dijatuhkan talk Tanya saksi, sy hendak mendapat penegesahan lafaz, jika sy gunakan Peguam brp lama sy ajan dpt keputusannya?

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warahmatullah.

      Jika suami boleh hadir pada tarikh pertama di hadapan hakim dan mengakui ada membuat lafaz tersebut, kes boleh terus selesai pada tarikh tersebut.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *