MAJLIS SULH – APA TU?

Assalamualaikum…

Pastinya kalau kita ke Mahkamah Syariah akan terdengar berkenaan satu terma yang dipanggil “Majlis Sulh”. Banyak pihak masih tidak faham apakah yang dimaksudkan sebagai Majlis Sulh.

 

Apakah dia Majlis Sulh?

  • Ia adalah satu mesyuarat WAJIB di antara pihak-pihak yang berbalah dengan dipengerusikan oleh seorang pegawai Mahkamah. Peguam atau mana-mana orang yang bukan pihak yang dinamakan dalam kes adalah TIDAK DIBENARKAN ikut serta dalam Majlis Sulh ini. Proses ini adalah seakan-akan proses Mediasi di Mahkamah Sivil atau di luar Mahkamah, bezanya, peguam tidak boleh terlibat dengan Majlis Sulh.

 

Kes apa yang akan dipanggil ke Majlis Sulh?

  • Tidak semua kes yang difailkan akan diwajibkan ke Majlis Sulh. Kebiasaannya kes cerai, kes injunksi, kes-kes interim dan kes-kes bersifat permohonan (dan bukan Saman) tidak akan dirujuk ke Majlis Sulh. Arahan Amalan No. 1 Tahun 2010 ada menyenaraikan kes-kes yang akan dipanggil ke Majlis Sulh apabila ianya didaftarkan:-

009 – Tuntutan Gantirugi Pertunangan 016 – Tuntutan Muta’ah
017 – Tuntutan Harta Sepencarian
018 – Tuntutan Nafkah Isteri

019 – Tuntutan Nafkah Kepada Pihak Tak Upaya

020 – Tuntutan Cagaran Nafkah
021 – Tuntutan Nafkah Eddah
022 – Tuntutan Mengubah Perintah Nafkah

023 – Tuntutan Tunggakan Nafkah
024 – Tuntutan Nafkah Anak
025 – Tuntutan Mengubah Perintah Hak Jagaan Anak/Nafkah Anak

026 – Tuntutan Mengubah Perjanjian Hak Jagaan Anak/Nafkah Anak

028 – Tuntutan Hadhanah
049 – Tuntutan Gantirugi Perkahwinan
059 – Tuntutan Hak Tempat Tinggal
060 – Tuntutan Perintah Supaya Suami Tinggal Bersama Semula
062 – Tuntutan Isteri Kembali Taat
063 – Tuntutan Mas Kahwin

 

Tujuan Majlis Sulh?

  • Mencuba mendapatkan penyelesaian antara pihak-pihak sebelum kes dipanjangkan ke perbicaraan. jika pihak-pihak boleh bersetuju dengan apa saja terma yang nak direkodkan berkaitan dengan tuntutan yang difailkan, Mahkamah akan menyediakan suatu perjanjian yang akan ditandatangani kedua pihak dan perjanjian ini akan diendorskan sebagai suatu penghakiman persetujuan dan kes akan terus selesai tanpa perlu ke perbicaraan. Manakala jika Majlis Sulh tidak berjaya, barulah kes akan diteruskan ke perbicaraan seperti biasa.

 

Apakah prosesnya?

  • Semasa kes difailkan, Mahkamah akan mengeluarkan satu Notis Sulh, dan Mahkamah akan menyimpan Saman dan Penyataan Tuntutan yang disediakan oleh Plaintif. Hanya sekiranya Majlis Sulh telah selesai, barulah Saman dan Penyataan Tuntutan ini diberikan kepada pihak-pihak.
  • Kenapa? Supaya Defendan tidak membaca Penyataan Tuntutan ini terlebih dahulu sebelum Majlis Sulh dijalankan, sebab kebiasaannya jika sudah baca dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Plaintif terhadap Defendan, jaranglah Defendan akan bersetuju nak memasuki terma penghakiman persetujuan disebabkan malu/marah dengan dakwaan-dakwaan yang dinyatakan oleh Plaintif dalam Pernyataan Tuntutan. Sedangkan, jika adanya persetujuan, fakta-fakta dalam Pernyataan Tuntutan tersebut tidak akan dihakimi pun, Mahkamah hanya mahu melihat apakah terma-terma yang dipersetujui antara pihak-pihak, yang boleh direkodkan sebagai penghakiman persetujuan.

 

Bagaimana nak hadapi?

  • Apabila sudah mengetahui suatu Notis Sulh telah dikeluarkan, kenal pasti dahulu kes tersebut adalah berkenaan tuntutan apa, lihat kepada kod kes yang dinyatakan (artikel kami sebelum ini ada memberi panduan berkenaan bagaimana mengenali kod kes)
  • Samaada anda adalah Plaintif atau Defendan, masuklah ke majlis sulh tersebut dengan fikiran terbuka dan bersedia untuk mencuba mendapatkan penyelesaian. Ianya bermanfaat untuk kedua-dua pihak kerana persetujuan yang dicapai akan menjimatkan banyak masa dan kos kerana tidak perlu ke perbicaraan.
  • Sekiranya ada persetujuan dalam Majlis Sulh, ia akan menjamin bahawa pihak-pihak tidak akan memalukan satu sama lain sepertimana yang perlu dibuat semasa perbicaraan, kerana fakta-fakta yang membawa kepada pertelingkahan tidak perlu dibentangkan di mahkamah terbuka.
  • Jangan risau juga apa-apa yang dikatakan dalam Majlis Sulh adalah rahsia dan tidak direkodkan untuk dibaca oleh Hakim Bicara, melainkan jika ada terma persetujuan sahaja. Jadi berbincanglah apa sahaja untuk mencuba mendapatkan penyelesaian, dan jika tidak berjaya selesai sekalipun, apa-apa yang diperkatakan dalam majlis tersebut hanyalah kekal dalam majlis itu sahaja dan tidak akan didedahkan oleh pegawai sulh semasa bicara atau kepada hakim bicara. Inilah namanya perbincangan tanpa prejudis.

 

Semoga banyak kes dapat diselesaikan melalui Majlis Sulh demi kemaslahatan semua pihak.

 

Ashikin Rahim.

12 Disember 2018

Spread the word. Share this post!

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *