MAHKAMAH MANA HENDAK PERGI UNTUK FAILKAN KES?


Ada beberapa perkara yang anda perlu fikirkan sebelum memfailkan sesuatu kes di Mahkamah Syariah.

1. Hendak pergi Mahkamah di kawasan mana, di negeri mana?
2. Hendak pergi ke Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah?

 

Untuk persoalan pertama, untuk mengetahui di kawasan mana hendak memfailkan kes, anda perlu pergi ke mahkamah yang berbidangkuasa di tempat anda tinggal sekarang. Tidak semestinya Mahkamah berdekatan tempat anda kahwin dulu atau tempat anda cerai. Yang penting, DI MANA ANDA TINGGAL SEKARANG. Ingat ya, tidak semestinya jika alamat anda di Kuala Lumpur, bermakna kes anda kena failkan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Sebab banyak tempat di Kuala Lumpur yang jatuh di bawah bidangkuasa Negeri Selangor, seperti di beberapa seksyen dalam Wangsa Maju, Setiawangsa dan sebagainya. Macamana hendak tahu Mahkamah di negeri mana hendak pergi? Tengok siapa yang keluarkan cukai pintu dan cukai tanah untuk alamat tempat anda tinggal. Kalau yang mengeluarkan cukai pintu itu adalah Majlis Perbandaran Ampang Jaya contohnya, itu bermakna alamat anda jatuh bawah bidangkuasa Mahkamah Selangor. Tetapi jika yang mengeluarkan bil cukai pintu adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, anda perlu pergi ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di belakang bangunan Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta.

 

Kemudian lihat pula samaada alamat tempat tinggal anda tersebut sama dengan alamat dalam kad pengenalan atau tidak. Jika tidak sama, anda perlu mengisi surat pengesahan akuan mastautin di masjid kariah yang terdekat dengan tempat anda tinggal. Ada pegawai masjid di sana yang akan menandatangani pengesahan tersebut. Nasihat saya, paling mudah adalah ubahlah alamat pada kad pengenalan anda, kalau masih alamat kampung halaman atau alamat rumah lama. Jika alamat anda tinggal adalah sama dengan alamat dalam kad pengenalan, anda tak perlu sediakan surat akuan mastautin, bukankah lebih mudah begitu. Surat akuan mastautin ini ada formatnya tersendiri, anda perlu dapatkan dari laman web mahkamah atau dari mahkamah itu sendiri.

 

 

Untuk persoalan kedua, berkenaan hendak memfailkan kes di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rendah, anda perlu tahu bahawa ada dua jenis bidangkuasa, kita lihat dari aspek amaun tuntutan (untuk tuntutan seperti mutaah dan hutang perkahwinan), dan aspek jenis tuntutan (seperti cerai, harta sepencarian dan sebagainya).

 

Berkenaan amaun tuntutan, bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah adalah berbeza mengikut negeri. Di Selangor, tuntutan amaun melebihi 300 ribu barulah perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah (di bawah nilai tersebut perlu difailkan di Mahkamah Rendah Syariah), manakala di Kuala Lumpur, tuntutan amaun melebihi 50 ribu sudah perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah. Jadi, jika hendak tuntut amaun mutaah di bawah 50 ribu, failkan di Mahkamah Rendah Syariah. Jika nak tuntut amaun mutaah sebanyak rm1 juta contohnya, failkan di Mahkamah Tinggi Syariah. Amaun tuntutan tak semestinya apa yang anda akan dapat, tapi ia tetap menentukan di Mahkamah mana perlu failkan kes. Fee mahkamah dan fee peguam juga akan berbeza mengikut mahkamah mana yang anda failkan kes, jadi letaklah amaun yang munasabah dalam tuntutan anda.

 

Berkenaan jenis tuntutan pula, kebanyakan negeri menggunakan bidangkuasa yang sama. Kes-kes tertentu sudah ditetapkan perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah, tidak kira apakah amaun tuntutan yang terlibat. Contohnya, semua kes harta sepencarian, walaupun amaun tuntutan di bawah 50 ribu, tetap perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah. Kes-kes interim (mendapatkan perintah sementara) juga perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah. Sebagai contoh, kes cerai dan kes induk nafkah anak difailkan di Mahkamah Rendah, tetapi kes interim nafkah anak (difailkan sementara menunggu kes induk selesai) hendaklah difailkan di Mahkamah Tinggi. Jadi, katakan anda tinggal di Bangi, Selangor, kes nafkah anak perlu difailkan di Mahkamah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi, manakala kes interim nafkah anak hendaklah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, kerana buat masa ini hanya ada satu Mahkamah Tinggi yang beroperasi di Selangor, iaitu di Shah Alam. Kes hadhanah (hak jagaan anak) juga perlu difailkan di Mahkamah Tinggi.

 

Namun anda juga perlu tahu bahawa ada sesetengah keadaan, kes yang biasanya di Mahkamah Rendah masih boleh difailkan di Mahkamah Tinggi. ini bergantung kepada negeri masing-masing. Kuala Lumpur contohnya, ada Mahkamah Khas di mana kes nafkah anak dan kes hadhanah boleh difailkan bersekali di Mahkamah Tinggi.

 

Jika anda diwakili peguam, adalah lebih mudah, kerana peguam akan menyediakan semua suratcara dan akan memfailkannya di Mahkamah yang berbidangkuasa. Tetapi jika anda ingin memfailkan sendiri, hubungilah Mahkamah berkenaan terlebih dahulu untuk mengenalpasti negeri yang berbidangkuasa mengikut alamat anda, dan Mahkamah Rendah/Tinggi yang terlibat berdasarkan jenis tuntutan yang ingin difailkan. Jika anda perlu memfailkan kes di Kuala Lumpur, mudah kerana Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi di tempat yang sama. Namun jika alamat anda tinggal jatuh di bawah bidangkuasa Negeri Selangor, semua kes Mahkamah Tinggi perlu ke Shah Alam, manakala kes Mahkamah Rendah perlu ke cawangan yang berbidangkuasa untuk alamat anda, ada 12 cawangan Mahkamah Rendah di Selangor (rujuk laman web www.jakess.gov.my). Negeri-negeri lain juga ada cawangan2 Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi masing2.

 

 

Ashikin Rahim

01-04-2020
www.kincolaw.com

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *