SIJIL FARAID – PERLU ATAU TIDAK?

Apabila berlaku kematian, bukan setiap kali itu kita wajib mendapatkan sijil faraid. Ia bergantung kepada apakah jenis aset yang terlibat dan siapakah waris kepada si mati.

  1. Pertamanya, pastikan dulu si mati TIADA HUTANG yang belum dilangsaikan. sekiranya ada hutang, apa2 aset si mati tidak boleh dibahagikan secara faraid sehinggalah hutang tersebut diselesaikan terlebih dahulu. Haram kepada waris mengambil aset si mati sekiranya si mati masih ada hutang yang diketahui belum dilangsaikan.
  2. Sekiranya aset si mati termasuk simpanan KWSP, atau simpanan tabung haji, dan akaun tersebut TIADA PENAMA yang dinamakan oleh si mati, waris boleh mendapatkan sijil faraid di mahkamah syariah untuk kemudiannya dikemukakan kepada KWSP dan Lembaga Tabung Haji untuk mendapatkan pembayaran dibuat terus kepada waris mengikut pecahan pembahagian setiap waris.

    Sekiranya waris tidak mahu menggunakan Sijil Faraid kerana ingin pembayaran dibuat kepada seorang wakil sahaja bagi menguruskan bagi pihak keseluruhan waris, ini bermakna wakil tersebut hendaklah mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dari salah satu daripada 3 badan ini (Pejabat Pusaka Kecil, Amanah Raya atau Mahkamah Tinggi Sivil). Pihak mana satu daripada 3 badan ini yang akan mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir bergantung kepada jenis aset si mati dan jumlah. Perkara ini ada diterangkan dalam artikel saya yang lalu di http://www.kincolaw.com/faraid/prosedur-faraid-dan-pembahagian-harta-pusaka-bagi-orang-islam/
  3. Sekiranya pengeluaran surat kuasa mentadbir perlu dirujuk kepada Mahkamah Tinggi Sivil, maka adalah dinasihatkan waris mendapatkan sijil faraid terlebih dahulu untuk dikemukakan kepada Mahkamah kerana kebanyakan mahkamah sivil mewajibkan untuk melihat sijil faraid bagi menentukan siapa waris yang berhak kepada aset si mati.

    Manakala jika pengeluaran surat kuasa mentadbir perlu dirujuk kepada Pejabat Pusaka Kecil (PPK) atau Amanah Raya Berhad (ARB), maka Sijil Faraid TIDAK diwajibkan melainkan sekiranya telah berlaku kematian berlapis di kalangan waris sedia ada, atau terlalu ramai waris terlibat sehingga menyukarkan pihak PPK atau ARB untuk membuat pengiraan faraid sendiri.
  4. Sila AMBIL PERHATIAN bahawa Sijil Faraid TIDAK MEMBERIKAN KUASA kepada pemohon sijil tersebut untuk terus membuat pembahagian harta si mati (melainkan kepada KWSP dan Tabung Haji dan apa2 institusi yang menerima Sijil Faraid). Bank-bank dan Pejabat Tanah masih mewajibkan waris mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian dari salah satu dari 3 Badan (Amanah Raya untuk si mati yang tiada aset rumah atau tanah, Pejabat Pusaka Kecil dan Mahkamah Tinggi Sivil), barulah pembahagian kepada setiap waris boleh dibuat.

Diharapkan penjelasan di atas boleh memberi panduan kepada waris berkenaan Sijil Faraid. Salam Takziah dan semoga Allah permudahkan urusan kalian.

P/S: Pengeluaran Sijil Faraid oleh Mahkamah Syariah hendaklah mengikut borang yang disediakan Mahkamah masing-masing. Dapatkan khidmat guaman sekiranya waris menghadapi masalah untuk menyediakan dokumen yang diperlukan oleh Mahkamah.

Ashikin Rahim

12-03-2021

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *