PENGESAHAN NIKAH LUAR NEGARA

Assalamualaikum.

.
Hari ini kita sembang santai. saya nak cerita ringkas berkenaan prosedur pengesahan nikah yang dilakukan di luar negara. Cerita simple saja, kalau nak lebih detail sebab nak failkan sendiri pengesahan nikah di Mahkamah, kena hadir Mahkamah dan tanya di sana. atau lebih mudah lagi, jika ada duit, lantik peguam syarie dan peguam syarie akan uruskan semuanya.

.

Sebagai Peguam Syarie, nasihat pertama saya ialah elakkanlah nikah di luar negara sebab bukan sedikit kes yang pasangan ditipu sindiket, akhirnya tak berjaya dapat perintah pengesahan nikah dari Mahkamah Syariah di Malaysia sebab kekurangan dokumen penting, menyebabkan anak tak dapat didaftarkan dalam surat beranak. ramai juga yang suami sengaja taknak buat pengesahan nikah sebab taknak bayar denda, taknak isteri pertama tahu. Yang sengaja sembunyikan dokumen pun ramai, sebab dia tahu, tanpa pengesahan nikah tu, isteri yg dikahwini di luar negara tak dapat tuntut keadilan di Mahkamah jika berlaku lafaz cerai atau isteri nak mohon cerai atau isteri nak dapatkan apa-apa hak lain sebab tiada perintah pengesahan nikah dan sijil nikah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri.

.

Tapi jika tak boleh nak elak sangat dan nak kawin juga, ok, kita cerita apa nak buat lepas dah nikah di sana ye. Pastikan lepas nikah, anda daftar dan dapatkan surat pengesahan konsulat, gambar kawin di sana, butiran nama dan alamat dan nombor telefon saksi-saksi nikah & jurunikah, butiran siapa wali, dokumen menunjukkan wali hakim dan jurunikah itu ada kuasa sewajarnya dari negara mereka untuk menikahkan pasangan, passport menunjukkan keluar dan masuk Malaysia dan negara terbabit, butiran perjalanan ke sana seperti tiket kapal terbang atau tiket keretapi.

.

kemudian, bila dah balik ke malaysia, laporkan berkenaan pernikahan itu ke jabatan agama islam di tempat mastautin suami atau isteri. dapatkan surat rujukan ke mahkamah syariah dari jabatan agama islam berkenaan. kemudian proceed failkan kes pengesahan nikah di mahkamah rendah syariah (jika perkahwinan bujang-bujang), atau di mahkamah tinggi syariah (jika perkahwinan poligami). lampirkan dokumen-dokumen sokongan yang diminta, dan pastikan semua maklumat lengkap seperti butiran wali, lafaz ijab dan qabul.

.

tunggu mahkamah syariah panggil untuk siasatan, suami isteri wajib hadir dan akan disiasat hakim. jika ada yang enggan hadir, dapatkan sepina dari mahkamah untuk paksa kehadiran si suami atau si isteri tersebut. kemudian hakim akan putuskan samaada rukun nikah sempurna dan barulah perintah pengesahan nikah akan diberikan. (warning: tak semua keadaan hakim akan beri kebenaran nikah ye. sebab banyak isu berkenaan wali dan berkenaan autoriti jurunikah/wali hakim akan menjadi persoalan).

.

Lepas dah dapat perintah pengesahan nikah, kena report semula kepada jabatan agama dan isi borang permohonan sijil nikah. ada negeri yang boleh terus proses, ada yang wajibkan bayar denda untuk kesalahan jenayah syariah kerana nikah di luar negara. jadi untuk negeri yang wajibkan bayar denda dulu ni, kena tunggu pula bahagian pendakwaan syariah di jabatan agama untuk buka kertas pendakwaan dan kena hadir pendengaran untuk kesalahan nikah luar negara ni. dah dapat tarikh, dah hadir dan mengaku salah, dah dapat amaun denda yang dikenakan, bayar denda tersebut barulah boleh proceed mohon sijil nikah dari jabatan agama.

.

Semua proses ni makan masa, kadang-kadang sehingga 6 bulan, terutama jika wajib tunggu bayaran denda diselesaikan dulu. jadi jika dah mengandung 6 bulan baru nak mohon pengesahan nikah supaya anak boleh terus dapat surat beranak, janganlah marah jika lambat dapat perintah mahkamah dan lambat dapat sijil nikah. In the first place, jangan nikah luar negara pun, kalau buatnya ada rukun nikah tak sempurna dan hakim declare nikah tu tak sah, lagi lah parah. anak dikandung akan jadi anak wati syubhah, tapi masih tak boleh dibinkan kepada si bapa walaupun secara biologi adalah anak kandung si bapa tersebut. isteri pula tak dapat nak tuntut hak jika suami buat hal. dan kalau semua ok sekalipun, nak bayar denda pun dah satu hal. kadang-kadang boleh sehingga beribu-ribu, bergantung kesalahan dan siapa yang terkesan akibat pernikahan tersebut.

.

pesanan diberi supaya tidak menyesal kemudian hari, sepertimana banyak pasangan yang dah melaluinya. seronok sekejap sebab dapat halalkan hubungan kelamin, tapi penyesalan bertahun-tahun bila bermasalah (dan biasanya memang akan ada masalah bila kahwin begini). jika ikhlas menyayangi, ambillah dia dengan cara yang baik dan terhormat. jika berpoligami, mohonlah di mahkamah syariah terlebih dahulu, kebenaran isteri pertama tidak diwajibkan, hanya wajib maklumkan saja, dan mahkamah akan beri kebenaran jika memang si suami itu mampu berpoligami. kalau diputuskan tidak mampu, maksudnya nak nikah di luar negara itupun sepatutnya tidak boleh, kerana hukum islam hanya benarkan lelaki kawin lain jika dia mampu adil saja. jika dia buat juga dan tidak berjaya adil, berdosa besar dan haram hukumnya menganiayai isteri dan anak-anak.

.

Wallahu a’lam.

.

Ashikin Rahim

8-5-2020

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *