Ramai yang mengadu kes cerai atau apa2 kes yg difailkan di mahkamah syariah habis lambat. Kadangkala bukan sebab mahkamah yang tak dapat beri keputusan, tetapi kerana ada prosedur yang Plaintif (pihak yang memohon dan memfailkan kes) tidak melaksanakan dengan betul, jadi Mahkamah tak boleh nak beri keputusan selagi tak dilakukan dengan betul. Setiap langkah yang disuruh undang2 ada sebab musababnya yang bersandarkan Hukum Syarak.
Bila seseorang Plaintif failkan suatu dokumen permulaan, ia dipanggil Saman atau Permohonan (bergantung kepada jenis kes dan apa yg dipohon). Untuk memudahkan perbincangan, kita rujuk kepada Saman saja, tapi prosedur di bawah terpakai kepada dua2 Saman dan Permohonan ya (kecuali Permohonan Ex-Parte, nanti lain kali kita cerita panjang tentang exparte). Dan perbincangan di bawah ni untuk Plaintif yang tak diwakili peguam masa memfailkan kes, kalau pakai peguam, peguam patut tahu semua ni (tapi ada je saya jumpa peguam buat serahan pakai poslaju. Salah ye!)
Benda pertama Mahkamah akan tanya Plaintif masa tarikh sebutan kes yang pertama adalah samaada sudah menyerahkan saman kepada Defendan secara sempurna, bermakna saman kepada diri (kadangkala dirujuk sebagai saman kediri).
Apa makna saman kediri ni?
Ia bermakna saman yang perlu diserahkan secara serahan tangan kepada Defendan. Tak boleh hanya letak atas meja di rumah, atau letak dalam peti pos, atau gunakan kurier/poslaju, atau surat berdaftar atau apa2 sahaja cara yang selain daripada serahan sendiri secara berdepan muka. Emel ke, whatsapp ke, tak dikira serahan ye, sekalipun defendan tu ada balas emel atau whatsapp tu dan mengatakan dia dah terima. So buatlah cara macamana sekalipun asalkan defendan tu dapat saman beserta dokumen sokongan tu ke TANGAN dia. Kalau dia taknak baca tu belakang kira, asalkan dia terima dengan tangan sudah cukup.
Kenapa?
Supaya Mahkamah berpuas hati yang Defendan memang dah terima Saman yang si Plaintif failkan tersebut. So kalau Defendan masih taknak datang Mahkamah walaupun dah terima Saman, bolehlah Plaintif mohon keluarkan surat amaran dan waran tangkap terhadap defendan atau meneruskan bicara secara sebelah pihak (bergantung pada jenis kes). Kalau diserah melalui emel atau whatsapp, siapa yg boleh jamin yang menjawab emel tu dan mengaku terima tu memang defendan? Boleh je orang lain pegang handphone defendan dan jawab emel/whatsapp tu sedangkan defendan sendiri sebenarnya tak tahu. Boleh jadi juga si plaintif bohong mahkamah dan taip sendiri jawapan dalam handphone defendan (ni boleh berlaku kalau suami isteri tinggal serumah). Sebab tu lah mahkamah taknak terima bukti serahan selagi bukan dilakukan secara serahan tangan.
Siapa yang boleh buat serahan ni?
Masa memfailkan kes, Plaintif boleh pilih nak serahkan sendiri atau nak minta Mahkamah serahkan. Sebaiknya Plaintif serahkanlah sendiri sebab penghantar serah di Mahkamah hanya cuba buat serahan waktu pejabat saja, jadi kalau Plaintif beri alamat rumah Defendan kepada Mahkamah, sampai sudahla tak dapat diterima Defendan kalau Defendan tu bekerja waktu pejabat.
Apatah lagi kalau Defendan tu duduk di negeri yang tak sama dengan Mahkamah yang mendengar kes. kalau Defendan duduk KL tapi kes difailkan Plaintif di Selangor, mahkamah selangor perlu hantar Saman kepada Mahkamah kl kemudian penghantar serah mahkamah KL yang akan cuba buat serahan pada Defendan. Proses ni saja makan masa berbulan kadang2, sebab bukan mudah nak uruskan penghantaran dan rekod antara dua negeri berlainan walaupun jarak antara dua mahkamah ni takdelah sejauh mana. Pentadbiran agama islam kan berbeza ikut negeri, jadi mereka kena ikut prosedur yang ketat bila diserahkan di luar bidangkuasa mahkamah yang mendengar kes. Jadi kalau nak selesai kes cepat, tak payahlah pilih serahan melalui mahkamah.
Boleh guna khidmat wakil ke atau upah orang untuk serah pada defendan?
Jangan guna khidmat wakil sendiri untuk serah jika wakil tu tak dapat ikut ke mahkamah untuk baca afidavit penyerahan (atau dirujuk juga sebagai afidavit penyampaian). Contohnya, kalau mintak adik buat serahan, adik tu kena lah datang mahkamah untuk baca afidavit penyerahan yg membuktikan bila, di mana dan cara penyerahan dibuat. Kalau upah Gogetter buat serahan, memang susahla nak suruh gogetter tu datang mahkamah dan sign afidavit pulak, melainkan tambah upah khas untuk dia buat macam tu. dah tu kenalah pastikan yang buat serahan tu orang islam sebab keterangan dia dalam afidavit penyerahan tu nanti boleh diterima mahkamah. So kan lebih senang buat serahan sendiri je. Kalau takut defendan bertindak ganas, bawaklah kawan2 sebagai bodyguard ke.
Nak serah pada siapa?
Wajib serah pada defendan saja, jangan memandai serah pada orang gaji atau ibu defendan atau anak defendan atau setiausaha defendan atau PA defendan atau sesiapa jua orang lain sekalipun si Plaintif tu memang pasti yang wakil defendan tu akan bagi defendan baca. WAJIB kepada defendan SAHAJA.
Macamana nak buktikan dah serah?
Sesetengah mahkamah akan beri borang untuk defendan isi sebagai membuktikan dah terima dokumen. Kalau mahkamah tak beri borang ni, memadailah suruh defendan tandatangan pada salinan saman yang plaintif pegang. Tulislah tarikh, masa dan tempat diterima juga. Nanti fotokopi pengesahan penerimaan ni dan lampirkan pada afidavit penyerahan yang akan dibaca di mahkamah sebelum tarikh sebutan berikutnya.
Bila nak serah?
Serahan perlu selewatnya 7 hari penuh sebelum tarikh sebutan yg ditetapkan mahkamah. Saya selalu pesan selewatnya 8 hari. Sebab “7 hari penuh” tu boleh jadi terkurang penuh kalau terlewat sejam diserahkan walaupun masih dalam jangka masa 7 hari. Contohnya, kes akan dipangil jam 9 pagi 10 haribulan april. Serahan kena dibuat selewatnya jam 9 pagi 3 april. Kalau terserah jam 10 pagi 3 april, ha kan dah x cukup 7 hari penuh. So lebih senang bagitahu plaintif serahkan 8 hari sebelum, jadi pukul berapa serah pada 2 april pun tak kisah, masih dikira dalam masa serahan yang dikehendaki.
Kalau dah serah depan defendan tapi defendan taknak terima macamana?
Sebaiknya masa serahan bawa lah saksi bersama, supaya dalam afidavit penyerahan nanti boleh dinyatakan yg ada saksi yg nampak plaintif serah saman dan saksi nampak yang defendan dah terima saman tu. saksi tu pun boleh baca afidavit sebagai menyokong afidavit plaintif juga.
Sekian perkongsian kali ini. Moga bermanfaat. Amin.
Ashikin Rahim
19-04-2018
Sebarang pertanyaan atau untuk melantik Peguam Syarie, boleh click WhatsApp Link: https://wa.link/gnrupa
zurina
admin