SAMAN ORANG KETIGA

8B3E7C6F-D234-4DC5-8706-1B820CEAD360

 

Saya sering ditanya orang awam berkenaan dengan saman orang ketiga. Mungkin kerana beberapa artikel dalam surat khabar online yang giat disebarkan memberikan harapan kepada pasangan yang teraniaya akibat pihak ketiga yang cuba menggugat keharmonian rumah tangga mereka.

Tapi ada beberapa perkara yang saya rasa wajar diperjelaskan lagi agar masyarakat sedar apakah realiti berkenaan saman orang ketiga terutama bagi pasangan yang beragama Islam.

1. Tindakan mahkamah terhadap org ketiga bagi orang beragama Islam hanya ada peruntukan di bawah undang-undang jenayah syariah, berbeza dengan peruntukan undang-undang sivil yang mempunyai jalan untuk menyaman pihak ketiga bagi jenayah DAN sivil (ganti rugi). Untuk orang Islam, TIADA peruntukan untuk mendapatkan ganti rugi dengan menyaman pihak ketiga.

2. Apabila kita bercakap berkenaan undang-undang jenayah syariah, hanya pendakwa syarie yang mempunyai kuasa budi bicara utk memulakan sesuatu kes. Peguam atau pihak-pihak yang terlibat tidak  boleh failkan sendiri kes saman pihak ketiga di mahkamah. Proses ini sama sahaja dengan mana-mana kes jenayah lain, saya bagi contoh, dalam satu kes curi contohnya, hanya timbalan pendakwa raya boleh memfailkan kes terhadap si tertuduh, manakala mangsa kecurian itu sendiri tidak boleh memulakan sendiri kes terhadap si pencuri  di mahkamah jenayah.

3. Jadi, apakah langkah untuk mendapatkan kes jenayah syariah dimulakan terhadap orang ketiga? Sepertimana mana-mana kes jenayah syariah lain, orang awam yang hendak membuat aduan perlu hadir di pejabat agama berdekatan dan mengisi aduan rasmi berkenaan salah laku orang ketiga tersebut. Bawalah bukti dan maklumat yang mencukupi, gambar-gambar jika ada, dokumen cetakan mesej telefon, resit-resit hotel dan sebagainya. Berdasarkan bukti ini, pegawai agama akan menyiasat. Jika cukup bukti dan pegawai agama merasakan kertas siasatan perlu diajukan kepada pendakwa, fail akan dihantar kepada pendakwa. Jika aduan dan bukti si pengadu itu lemah, kemungkinan kes akan ditutup tanpa disiasat lanjut.

4. Bagi siasatan-siasatan yang diajukan kepada pendakwa, Pendakwa syarie akan meneliti laporan yang dibuat oleh pegawai agama yang menyiasat. Jika dirasakan kes pendakwaan itu kuat dan boleh diambil tindakan di mahkamah, barulah pendakwa akan memfailkan kes jenayah syariah tersebut terhadap pihak ketiga yang berkenaan.

5. Realitinya, saya belum pernah lagi mendengar atau membaca ada kes pendakwaan terhadap orang ketiga difailkan di mana-mana mahkamah syariah di Malaysia, dan saya juga tidak pernah membaca sebarang laporan kes saman pihak ketiga dalam mana-mana jurnal undang-undang, melainkan kes melibatkan orang bukan islam di mahkamah sivil sahaja.

6. Benar, undang-undang syariah memang ada peruntukan kesalahan jenayah terhadap orang ketiga, namun kebanyakan pendakwa syarie tidak meneruskan dengan pendakwaan bagi kes sebegini kerana ia sukar dibuktikan. Malah, bayangkan jika pendakwa membawa satu kes saman pihak ketiga bagi satu pasangan, pastinya ia akan membuka pintu kebanjiran (floodgate) kepada banyak lagi kes sebegini, kerana terlalu banyak aduan berkenaan orang ketiga yang diterima pihak berkuasa. Kerana itulah realitinya, kes sebegini tidak dibawa ke mahkamah, dan pendakwa lebih menumpukan kepada kes-kes lain.

7. Jika anda mempunyai bukti yang lebih kuat berkenaan kecurangan pasangan, contohnya, ada bukti mereka melakukan zina, kemukakan bukti seperti gambar, video atau resit hotel, dan buat aduan supaya pasangan dan orang ketiga didakwa di bawah kesalahan zina atau khalwat, dan bukannya di bawah peruntukan kesalahan orang ketiga.

Pandangan dan nasihat saya kepada individu yang terjejas dengan kecurangan pasangan mereka, jika anda adalah si suami, ambillah tindakan nusyuz terhadap isteri, dan jika anda adalah si isteri, failkan cerai terhadap suami. Tiada gunanya membalas dendam kepada pihak ketiga kerana hakikatnya pasangan anda juga bersalah dalam hal ini, dan tinggalkanlah perkahwinan itu jika anda tidak bersedia memaafkan pasangan atau pasangan anda tidak berubah. Terlalu banyak kes yang datang di hadapan saya yang melibatkan pasangan yang curang beberapa kali, ini bermakna, kebiasaannya memang mereka akan sukar meninggalkan perbuatan curang itu dan akan melukai anda lagi. Usahlah menderita lagi sekiranya pasangan anda tidak menghargai kesetiaan anda.

Sekadar pandangan,

Ashikin Rahim

2-1-2020

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *