NAFKAH ISTERI DAN ANAK

Assalamualaikum warah matullah wabarakatuh.

Terima kasih kerana mengikuti artikel kami seterusnya pada minggu ini, dalam usaha kami untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat awam beragama Islam tentang perkara asas dalam isu-isu syariah berkenaan rumahtangga. Minggu ini kita akan berkongsi pandangan berkenaan nafkah isteri dan nafkah anak, suatu isu yang tidak pernah surut, baik dalam kes yang difailkan di Mahkamah mahupun dalam kehidupan seharian suami isteri.  Perkara ini perlu diketahui untuk panduan hidup seharian suami/isteri, dan berbangkit juga sekiranya berlaku perceraian dan isteri/ibu ingin membuat tuntutan nafkah dari suami/bapa.

Ada 5 perkara penting yang kami rasakan perlu diketahui oleh para isteri (dan suami sebagai pemberi nafkah) berkenaan nafkah isteri dan nafkah anak.

6

1. Jenis-jenis nafkah wajib (Makan Minum, Pakaian, Tempat Tinggal, Persekolahan dan Perubatan)

dinner 2

Setiap hari, seorang suami dan bapa wajib menanggung 100% kos makan minum, pakaian dan tempat tinggal isteri dan anak-anaknya (ya, walaupun isteri bekerja dan berpendapatan tinggi). Contohnya:-

  1. kos makan minum isteri dan anak rm10 sehari (rm10 x 30 hari = rm300 sebulan);
  2. kos pakaian (termasuk lampin pakai buang anak (rm150 sebulan); dan
  3. kos tempat tinggal yang baik (contohnya sewa atau ansuran bulanan sebanyak rm800 sebulan di Lembah Klang).

Berdasarkan contoh di atas, ini bermakna kos sebulan nafkah yang wajib ditanggung suami (bagi yang mampu) adalah rm1250 sebulan (ini hanya anggaran kiraan dan bergantung kepada jumlah anak, lokasi tempat tinggal dan sebagainya).

Dalam keadaan tertentu, contohnya apabila isteri atau anak sakit, atau anak sedang bersekolah, nafkah yang wajib ditanggung seorang suami dan bapa juga termasuk kos persekolahan dan perubatan, kerana memberi didikan ilmu itu adalah wajib kepada seorang bapa, dan menjaga kesihatan isteri dan anak juga adalah wajib. Bapa juga perlu tahu bahawa ibu berhak kepada upah susuan dan upah menjaga anak, oleh itu bapa sepatutnya membayar upah tersebut kepada ibu dalam bentuk elaun wang atau membayar yuran taska sekiranya ibu memilih untuk menghantar anak ke taska sebagai ganti upah menjaga anak.

Perkara-perkara yang boleh dirundingkan adalah berkenaan perkara-perkara tambahan seperti kenderaan isteri ke tempat kerja, yuran persekolahan swasta seperti preschool / montessori, rawatan perubatan di hospital swasta, percutian keluarga dan sebagainya. Ini semua bergantung kepada fakta kes masing-masing, terutamanya jika suami berkemampuan menyediakan semua ini.

 

2. Kadar nafkah adalah mengikut kemampuan suami/bapa

19f6fe3bdb3f39d9eab2c6de4464d561

Walaupun demikian, Islam tidaklah membebankan seorang suami atau bapa melebihi kemampuannya (melainkan dia dengan sengaja tidak mahu bekerja atau malas bekerja keras). Oleh itu, suami yang berpendapatan rm1000 sebulan contohnya, hanyalah menanggung isteri dan anak dalam lingkungan pendapatannya itu, melainkan dia berkemampuan untuk meningkatkan taraf hidup keluarga tanpa mengganggu tanggungjawab lain, maka perlulah dia mendapatkan pendapatan lebih tersebut sekiranya pendapatan semasa tidak mencukupi. Bagi para suami, bijaklah merancang tempat tinggal dan gaya hidup supaya pendapatan itu cukup untuk menanggung isteri dan anak. Ingatlah, Allah menilai segala usaha anda dan mengetahui samaada anda sebenar-benarnya mampu atau tidak.

 

3. Isteri yang bekerja boleh membantu (ikhlas atau pinjaman?)

workingmom

Inilah realiti hari ini. Pendapatan suami seorang tidak mencukupi untuk menanggung kos hidup yang selesa untuk isteri dan anak-anak. Jadi kebanyakan isteri pada hari ini memilih untuk bekerja bagi membantu suami menanggung kos hidup keluarga. Isteri selalu membeli barangan dapur menggunakan duit gaji sendiri, membayar taska anak, membeli pakaian sendiri, membeli pakaian anak2 dan kadangkala berkongsi membayar ansuran bulanan rumah. Semuanya diberi dengan rela. Namun, adalah amat penting untuk isteri berterus-terang dengan suami samaada bantuan isteri menggunakan wang gajinya adalah ikhlas atau hanya dipinjamkan sementara sehingga suami mampu membayar semula.

Cara mengetahui ikhlas atau pinjaman? Isteri perlu menjawab soalan ini dengan sejujurnya: “Sekiranya suamiku berkahwin dua apabila dia sudah berpendapatan lumayan satu hari nanti, adakah aku akan mengungkit kembali sumbangan duitku untuk membantu keluarga selama ini?” Sekiranya jawapannya ya (walaupun bukanlah bermakna suami anda betul2 akan berpoligami satu hari nanti, ini hanya sebagai panduan mengukur keikhlasan), tolonglah beritahu suami anda bahawa anda hanya berniat untuk me’minjam’kan sahaja semua sumbangan anda untuk keluarga, dan suami perlu membayar semula apabila berkemampuan suatu hari nanti. Terlalu banyak kes perceraian akibat suami berpoligami di mana isteri pertama menuntut kembali sumbangan wangnya kepada keluarga sejak berkahwin, sedangkan suami mengatakan isteri pertama tidak pernah mengatakan itu hanya pinjaman dan dengan rela dan ikhlas memberinya pada masa itu tanpa mengharapkan bayaran kembali.

Suami pula tidak wajar menuntut bahawa dengan memberikan kebenaran bekerja kepada isteri, isteri wajib membantu menggunakan wang gaji isteri. Jika anda ingin berbuat demikian, seeloknya tidaklah perlu bagi isteri anda bekerja, kerana anda yang sepatutnya mencari pekerjaan yang cukup gajinya untuk menanggung keluarga, bukan dengan memindahkan sebahagian tanggungjawab nafkah kepada isteri (atau kadangkala langsung tidak menanggung isteri), melainkan isteri dengan nyata dan ikhlas menyatakan kesanggupan berkongsi tanggungan.

 

4. Tuntutan nafkah isteri, nafkah anak dan nafkah tertunggak (isteri dan anak)

alimony2

Tahukah anda bahawa seorang isteri dan ibu boleh menuntut nafkah dari suami di Mahkamah sekalipun tidak bercerai? Tetapi secara realitinya ini jarang berlaku kerana isteri tidak mahu mengeruhkan hubungan suami isteri dengan mengheret suami ke Mahkamah. Namun, memang ada kes yang difailkan oleh isteri demi kebajikan anak-anak, demi memaksa suami untuk membuat bayaran nafkah setiap bulan. Malah, ada juga kes di mana seorang bapa tua memfailkan tuntutan nafkah terhadap anaknya sendiri! Ini adalah hak anda dan anak anda, maka terpulang kepada anda untuk membuat keputusan sekiranya keadaan memaksa anda membawa suami ke Mahkamah.

 

5. Penguatkuasaan perintah nafkah

m_id_411086_pakistani_jails

Setelah seorang isteri atau bekas isteri atau mana-mana penjaga kepada anak berjaya mendapatkan perintah Mahkamah untuk mendapatkan nafkah (samaada nafkah ‘iddah, nafkah tertunggak isteri, nafkah isteri akan datang, nafkah anak tertunggak, nafkah anak sehingga 18 tahun atau tamat belajar, atau kesemuanya sekali), maka perintah tersebut boleh dikuatkuasakan dengan pelbagai cara. Antaranya, memohon agar majikan suami membuat potongan gaji setiap bulan dan dikreditkan terus ke akaun isteri atau memohon cagaran nafkah di mana isteri atau mana-mana pemegang amanah yang dilantik Mahkamah boleh memegang harta milik suami (seperti kenderaan, jam tangan mewah) dan boleh menjualnya sekiranya suami gagal membuat bayaran nafkah.

Sekiranya suami gagal untuk membuat bayaran nafkah sekalipun perintah Mahkamah telah dibuat, isteri atau ibu boleh memfailkan permohonan komital untuk memasukkan suami ke penjara kerana menghina Mahkamah kesan daripada mengabaikan perintah nafkah tersebut, atau memfailkan saman penghutang penghakiman di Mahkamah. Dalam soal ini, isteri yang kurang berkemampuan untuk melantik peguam boleh meminta bantuan Bahagian Sokongan Keluarga di negeri masing-masing atau di JKSM.

 

Sekian sahaja secara ringkas perkongsian untuk minggu ini. Panduan di atas hanyalah pandangan penulis semata dan setiap kes yang berlaku adalah berbeza mengikut fakta kes masing-masing.

Spread the word. Share this post!

Comments (30)

  1. Zakiah

    Reply

    Assalammualikum pn. Sekiranya saya berjaya mendapatkan perintah Mahkamah untuk mendapatkan nafkah dan saya ingin dilakukan secara potongan gaji. Apakah prosedur yang perlu saya ikuti dan bagaimanakah pengiraan perbelanjaan yang perlu disediakan oleh suami antara bil anak dan gaji suami

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warah matullah Puan Zakiah. Sekiranya suami gagal membayar nafkah secara konsisten mengikut Perintah, Puan perlu memfailkan permohonan saman penghutang penghakiman dan buatlah permohonan untuk mendapatkan potongan gaji dalam masa yang sama. Mahkamah akan mengeluarkan perintah yang berkenaan dan Puan perlu menyerahkan Perintah tersebut kepada majikan suami untuk tindakan mereka selanjutnya.

  2. Amira

    Reply

    Assalamualaikum puan. Boleh sy tau mcm mana nak buat tuntutan nafkah tertunggak isteri? Dokumen apa yang sy perlu bawa, bukti/saksi, dan anggaran bayaran yg dikenakan oleh mahkamah. Adakah sy perlu lantik pegiam syariah? Adakah tuntutan ink blh dibuat di semua mahkamah rendah syariah? Sy yg menanggung suami selama ini, dan skrg suami dah ada gaji besar. Sblm ni dia kata akan ganti balik duit sy tapi bila dah ada gaji besar, dia buat tak endah.

    • admin

      Reply

      waalaikumussalam warah matullah,

      Puan bawalah bukti gaji suami, dan semua resit perbelanjaan untuk menanggung tempat tinggal, pakaian, makan minum, persekolahan dan perubatan.

      Tidak perlu lantik peguam jika puan tidak mampu. Jika mampu, peguam boleh membantu memudahkan proses dokumentasi, dan puan tidak perlu banyak kali hadir ke mahkamah melainkan sebutan pertama, bicara dan keputusan sahaja.

      Tuntutan nafkah boleh dibuat di mahkamah rendah syariah terdekat dengan tempat mastautin semasa puan.

  3. Siti khadijah khamis

    Reply

    Assalamualaikum puan,
    Sy ingin bertanya sy bcadang ingin daftar penceraian secara baik (fast track) dlm ms terdekat ni. Sy ade kemusykilan ttg suami ade bgtau xkan bg nafkah slps bcerai. Adakah semasa perbicaraan nati sy boleh dpt jaminan atau pengesahan mahkamah bkenaan nafkah ni kalo benar suami mengaku dpn hakim xnak bg dan sy nk jaminan utk menyekat suami bjumpe ank2. Alasan suami dia xnk amik tau lg slps bcerai. Selama suami bg nafkah mmg hanya utk anak2 shj yg konsistent selama 1.5 tahun lebih krg. Yg lain sy tanggung sendirian selama hampir 7thn. Atau ade kaedah lain untuk sy pertahankan keselamatan anak2 & diri sy.? Ank 3 org.

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warah matullah, kes cerai hanya akan ada perintah berkenaan cerai, melainkan ada persetujuan untuk merekodkan perintah berkenaan nafkah anak-anak dan sebagainya. jika tiada persetujuan pihak-pihak, puan perlu failkan kes nafkah di mahkamah rendah syariah sebagai kes berasingan, dan untuk hak jagaan dan lawatan anak2, hendaklah failkan kes hadhanah di mahkamah tinggi syariah.

  4. Putri

    Reply

    Assalammualaikum puan,
    Sya nk tya pendpt puan klu bekas isteri dh dpt perintah mahkamah bekas suami pn dh angkat sumpah mnyatakn sanggup mmberi nafkah ank msa diawal perceraian tpi lama² mula hilng nafkah tidak diberi kpd ank.. Bila bekas isteri pergi mahkamah,pihak mahkamah tidak dapat brbuat apa² kerana tidak dapat hubungi bekas suami..
    Adakah cara untuk bekas isteri mndptkn maklumat majikan tmpt bekerja bekas suami??
    Diharapkn puan sudi mmbantu.
    Terima kasih.

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam Puan,

      Bekas isteri perlu cuba mencari cara sendiri untuk mengesan tempat kerja suami. Cuba merayu kepada institusi seperti KWSP atau Bank Negara untuk mengesan siapa majikan yang membuat tolakan ke akaun KWSP suami atau yang membuat deposit gaji ke akaun suami setiap bulan.

  5. Suhaini

    Reply

    Assalamualaikum Puan.

    Saya telah lama berpisah dgn bekas suami. Anak di bawah jagaan saya sepenuhnya. Dan bekas suami tidak bagi nafkah walau sesen pun. Bagaimana caranya saya boleh tuntut semua nafkah anak2 yang tertunggak dan juga duit saya yang diguna bekas suami atas dasar pinjam dulu…?

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam Puan,

      Failkanlah tuntutan tunggakan nafkah anak dan tuntutan nafkah anak di mahkamah rendah syariah terdekat dengan tempat mastautin. Hutang hendaklah dituntut di bawah kes hutang.

  6. Naufal

    Reply

    Assalamu’alaikum. Saya nak tanya. Ayah saya dipenjara selama 6 tahun (2005-2011). Sepanjang tempoh dia dipenjara, emak saya yang menanggung segala keperluan nafkah anak-anak (yang sepatutnya menjadi tanggungjawab ayah). Emak saya baru sahaja meninggal 8 bulan yang lepas. Adakah anak-anak boleh menuntut nafkah tertunggak ayah selama dia dipenjara ? Terima kasih.

    • admin

      Reply

      nafkah tertunggak anak sepatutnya hanya boleh dituntut selepas mendapat perintah nafkah anak terlebih dahulu. Jika dibiarkan tertunggak tanpa mendapatkan perintah di peringkat awal kecuaian, agak sukar hakim nak meluluskan tuntutan untuk jangka masa yang lama tertunggak, sesetengah mahkamah tidak benarkan pun failkan nafkah tertunggak tanpa perintah mahkamah asal. Sepatutnya arwah ibu mohon perintah nafkah anak 6 tahun dulu barulah boleh anak2 tuntut tunggakan tersebut. Apa yg boleh dibuat sekarang adalah tuntut nafkah anak untuk anak2 yang masih di bawah umur 18 tahun, yang perlu ayah bayar dari tarikh tuntutan dibuat.

  7. Sham

    Reply

    Salam puan.. isteri sy berkerja dan bergaji besar.. tempat tinggal , persekolahan ank2 serta makan minum sy yg tanggung.. isteri mempunya kereta ..isteri yg bayar sendiri.. makan minum isteri dan ank2 jika kami keluarmakan sy yg tanggung sepenuhnya.. sy ingin tahu adakah sy wajib bg isteri nafkah berbentuk duit cash setiap bulan.? Dan beraper kadar yg wajib sy sumbangkan pada isteri..? T. Kasih

    • admin

      Reply

      Tidak wajib beri cash jika encik sudah sediakan semua keperluan dalam bentuk barangan. Melainkan wang cash diperlukan untuk keperluan peribadi beliau seperti toileteries atau wang ke klinik dan sebagainya

  8. Hnez2209

    Reply

    Salam puan,
    Sy ingin bertanya sekiranya suami hanya memberi nafkah ikut kemampuannya sahaja tanpa memikirkan kos2 yg meningkat sekarang ni mcmane? Lain lain perbelanjaan dibiayaai oleh isteri.
    Contoh: suami hanya membayar duit rumah sahaja RM1135 sebulan. Sedangkan isteri perlu membayar semua bil termasuk membeli kelengkapan umah dan sekolah anak RM1430.
    Kadangkala sy rasa berlaku ketidakadilan di situ.
    Semua tugas dirumah seperti pergi ke dobi, membantu dlm pelajaran ank, membimbing ank semua dpertanggungjawabkan kepada sy. Ada juga perangai2 suami yg menjengkelkan seperti tidak solat, menengking ketika marah, mengarah seperti mnyuruh sy mmbeli beras atau brg keperluan lain yg kehabisan.
    Sy da merasa bosan dgn perangai suami.
    Mohon pendapat puan. Sy merasa teraniaya dan tertekan semua ni dan tidak tahu kepada siapa tmpt mngadu.
    Bolehkah jika sy ingin berpisah dgnnya dan akta mana yg dibole pakai?

    • admin

      Reply

      Puan,

      Tanggungjawab suami memang memberi nafkah mengikut kemampuan manakala tanggungjawab hakiki isteri adalah menjaga rumahtangga dan mendidik anak2. Jika puan tidak redha menanggung nafkah yang suami tidak mampu, nyatakan kepadanya dan buat tuntutan nafkah di mahkamah, tidak perlu bercerai kerana ia lebih memudaratkan anak2 dan menyukarkan puan kerana selepas bercerai kos puan akan makin bertambah kerana terpaksa menanggung kos tempat tinggal pula. Walaupun boleh tuntut nafkah anak dari suami tetapi mahkamah akan memberi perintah mengikut kemampuan suami saja dan jika suami enggan bayar, puan perlu buat tuntutan pelaksanaan pula, jadi banyak kali perlu turun naik mahkamah.

      Manakala masalah komunikasi suami isteri ini perlulah dibincangkan secara baik, beritahu suami kepenatan puan mengurus semuanya dan buatlah pembahagian tugas yang dipersetujui. Tanpa komunikasi yang baik ini, masalah akan sentiasa timbul dalam pelbagai cara. Saya harap puan boleh bersabar demi mencari redha Allah.

      Jika masih tidak mengubah keadaan keluarga, berbincanglah dengan suami sekiranya dia setuju menceraikan puan secara baik.

  9. nurhidayah binti mustafa

    Reply

    assalammualaikum… sy dlm proses pnceraian. dlam masa yg sama sy mngadu kpd pjabat makhmah sy nk tuntutan nafkah untuk diri sendiri.slama 3thun x prnah bg mkn mnum, pakaian dan perubatan sakit. mcmn sy nk kira kos keperluan nafkah diri…
    adakah untuk sebulan ataupn 3 thun selama sy kahwin
    dlm borang tututan nafkah perlu mngisi jumlah untuk ditututan…

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warah matullah.

      Puan boleh tuntut tunggakan nafkah isteri untuk keseluruhan tempoh 3 tahun, tetapi hendaklah disokong bukti seperti resit perubatan dan sebagainya. Manakala sesetengah kos seperti makanan bolehlah dibuat anggaran mengikut hari.

  10. Hamba allah

    Reply

    Assalamualaikum puan..
    Saya nak bertanya,bekas suami dah meninggal tahun lepas.Masa hidupnya tak pernah bagi nafkah dekat ank2 seramai dua org.skrg ni,boleh ke saya nak tuntut hutang nafkah yg tak pernah arwah bagi tu? dan boleh ke saya minta nafkah bulanan dari waris arwah untuk ank2 saya?Andai kata saya tak boleh tuntut hutang tunggakan nafkah tu,sbb tiada perintah dari mahkamah,boleh ke saya tuntut hutang nafkah arwah tu,bila waris buat perintah tadbir harta pusaka kecil nnti?untuk makluman,Arwah ada meninggalkan sejumlah wang kwsp.

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warah matullah.

      Puan failkan dulu permohonan tunggakan nafkah isteri di mahkamah. Jika dibenarkan barulah boleh ditolak dari harta arwah sebelum difaraid. Utk nafkah anak, boleh tuntut dari waris suami jika ada yang mampu, mankala tunggakan nafkah anak sukar dituntut tanpa perintah mahkamah terlebih dahulu semasa suami masih hidup. Wallahua’lam.

  11. Tasha

    Reply

    Assalamualikum,sy nk tnye tentang nafkah ank,sy dh brpisah slme 6thun,dr ank umo 3bulan,n dr ank umo 1thun nafkah bulanan bekas suami hnye bg rm200 sbulan,n skrg bile ank dh skolah tadika januari 2017 dye hnye tmbh rm50 sje,segala perbelanjaan lain ank sme ade sakit ke,raye ke smue sy yg tnggung dr kecil smpi skrg,thun depan ank dh skolah rendah n sy nk mtk dye utk naik kn nafkah ank,mcm mne cara nye,n nnti bekas suami akn bg alasan xmampu.

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warah matullah. Puan, mahkamah sekarang amat sukar membenarkan tuntutan tunggakan nafkah untuk tahun2 yang kebelakangan kerana sepatutnya nafkah anak dituntut dari awal2 lagi sebaik sahaja si bapa gagal memberikan amaun yang mencukupi. Namun puan boleh menuntut nafkah anak dari sekarang untuk meliputi amaun yang patut diberikan dari saat puan memfailkan tuntutan atau dari tarikh perintah mahkamah. Jadi usah lengahkan lagi dan buatlah tuntutan di mahkamah seberapa segera untuk nafkah anak. Usah risaukan apa alasan yang akan diberikan suami kerana mahkamah pasti akan mengeluarkan perintah nafkah, cuma amaun nafkah itu akan bergantung kepada keperluan anak dan kemampuan suami. Jadi jika puan dapat mencari bukti pendapatan suami adalah lebih baik tetapi jika tiada, mahkamah akan meminta suami memberi keterangan mengenai pendapatan beliau yang sebenar.

  12. nur

    Reply

    assalamualaikum.. saya ingin bertanyakan mengenai nafkah anak.. sebelum ini nafkah anak memang stp bln diberikan oleh bekas suami walaupn amaount kdg2 berkurangan dr yg tlh dipersetujui.. kdg2 sy sndri yg meminta apabila dia kelewatan memberikn nfkh trsebut.. dlm thn ini bekas suami sudah pun berkahwin lain dan culas dalam memberi nafkah anknya walaupn sudah diminta…adakah dapat dituntut nafkah yg tidak diberikan tersebut walaupn belum ada perintah mahkamah??? bekas suami bekerja di bahagian oil & gas dan seorg yg berkemampuan .. saya sudah failkan kes dr tahun 2015 namun kes tersebut belum ada apa2 prkembangan lg sampai sekarang… terima kasih.

    • admin

      Reply

      Waalaikumussalam warahmatullah. Puan, agak sukar menuntut tunggakan nafkah anak tanpa mendapat perintah nafkah terlebih dahulu. Puan sepatutnya failkan permohonan interim nafkah anak di mahkamah tinggi, perintah boleh keluar sekitar 2-3 bulan sahaja. Manakala kes induk nafkah anak di mahkamah rendah memang akan memakan masa kerana memerlukan perbicaraan jadi cuba mohon dari mahkamah untuk mempercepatkan kes puan. Pasti ada isu lain jika kes itu masih belum selesai sejak 2015 kerana kebiasaannya kes nafkah anak boleh selesai selewatnya dalam masa setahun.

  13. Hawa

    Reply

    Assalammualaikum puan…suami Saya mnghantar msg in pada Saya.. maksudnya dh jatuh talak kan?.. apa yg Saya blh tuntut dari suami Saya
    ” “Assamualaikum. Sebelum abg teruskan bicara abg mohon ampun dan maaf jika ada kata kata abg yg salah dan menyakitkan hati. Abg dah lama fikir secara mendalam perkara ini. Abg rasa kita akhiri ajer ikatan perkahwinan kita kerana abg dah tak ada perasaan lagi dalam perkahwinan ini. Mmg dah kosong dan abg tak nak berbohong ttg perasaan abg sekarang. Abg akan uruskan dengan JAIJ secepat mungkin. Anggap jodoh kita hanya sampai disini. Maaf sekali lagi”

    • admin

      Reply

      Lafaz suami adalah lafaz kinayah dan hanya akan jatuh jika suami memang ada niat cerai pada masa menghantar. Jadi perlu kepada pengesahan niat suami di hadapan hakim. Mengikut bacaan saya, ayat suami masih belum jatuh talaq, masih dikira proses bercerai yg dicadangkan suami.

  14. Mas

    Reply

    Assalamualaikum
    Saya telah bercerai pada 2015, selepas tempoh iddah 5bulan selepas 3kali suci kesan saya mengguna implanon haid tidak teratur, saya memulakan proses tuntutan iddah mutaah dan nafkah anak. Tetapi bekas suami saya enggan bersetuju dan membuat strategi mengurangkan gaji bersihnya dari 2300 kepada 1100 ketika itu. Bekas suami saya membuat pinjaman peribadi 50ribu utk kepentingan diri seperti pinjaman kepada keluarga, beli.motor, berkahwin, membayar peguam mahkamah tinggi, melabur dalam forex,menunaikan umrah dengan isteri baru. Segalanya ada bukti2. Adakah saya masih boleh membuat tuntutan mengikut kiraan saya yang rasional seperti perbelanjaan utk 4anak kecil berusia 8tahun, 6tahun, 5tahun dan 4tahun di bandar seremban sebanyak 1200 setidaknya atau hakim akan merujuk kemampuan seperti dibuktikan dlm slip gaji bekas suami. Sehingga kini, saya hanya diberi 600 sahaja kerana bekas suami saya enggan memberi lebih kerana tiada perintah mahkamah ke atasnya, dan bolehkah sy meminta gantian kerana menanggung belanja anak hampir 1000 sebulan.

    • admin

      Reply

      Puan, nafkah tertunggak anak tidak boleh dituntut tanpa perintah nafkah terlebih dahulu. Jadi yg penting adalah failkan seberapa segera tuntutan nafkah anak. Dapatkan bukti suami sengaja kurangkan kemampuan, mahkamah akan pertimbangkan

  15. SKB

    Reply

    As salam admin,

    Sy telah mendapat perintah nafkah anak2 sejak bercerai. Namun, sejak 2014 bekas suami telah berhenti memberi nafkah anak.
    Sy tidak bekerja sekarang. Sy perlukan duit utk perbelanjaan anak2.
    Sy pernah menggunakan khidmat peguam utk membuat pemotongan gaji sebelum ini tetapi bekas suami berhenti kerja & kerja di tpt lain sebelum habis kes.
    Ada ke cara lain sy boleh menuntut perintah nafkah tertunggak? Boleh ke wang KWSP bekas suami sy tuntut sebagai tuntutan nafkah tertunggak.
    Jumlah nafkah tertunggak setakat bulan Ogos 2017 sebanyak RM35000 (termasuk nafkah bulanan, nafkah masuk sekolah & nafkah hari raya).
    Perlu ke saya menggunakan khidmat peguam utk tuntutan tersebut?

    Sekiranya saya tidak bekerja, boleh kah saya menggunakan khidmat Biro Bantuan Guaman utk kes ini?

    Mohon pencerahan.

    • admin

      Reply

      Boleh guna khidmAt JBG (jabatan bantuan guaman). Boleh juga rujuk kepada bahagian sokongan keluarga di mahkamah untuk bantu puan sementara nak dapatkan penguatkuasaan ke atas suami.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *